Apabila kita tidak berilmu, kita harus mengamalkan sifat merendahkan
diri untuk belajar. Kita tidak boleh menjadi orang sombong, kerana
dengan kesombongan itu, kita akan menjadi orang bodoh. Sekalipun
seseorang itu mempunyai ilmu yang mencapai tahap ijazah kedoktoran
(PhD), jika dia sombong, ijazah kedoktorannya itu tidak akan
menjadikan dia lebih bijaksana. Hal ini kerana, orang sombong dengan
ilmunya tidak akan suka ditegur dan dibetulkan. Dia merasakan dirinya
sentiasa benar dalam semua perkara. Maka jika dia tersalah, dia akan
kekal dalam kesalahan itu. Dia juga tidak suka menadah ilmu daripada
orang yang dirasakannya lebih rendah tahap ilmunya. Maka ilmunya tidak
akan meningkat dan berkembang, tetapi akan beku atau hanya menjurus pada
satu-satu bidang yang dia pakar sahaja.
Lain halnya dengan ahli ilmu yang tawaduk atau merendah diri. Seorang
yang tawaduk akan sanggup menadah ilmu daripada siapa saja. Dia juga
rela ditegur dan dikritik. Kepada orang yang merendah diri, Allah akan
berikan padanya hati yang lapang, fikiran yang cerdas dan perasaan yang
tenang untuk mendapat ilmu yang banyak.
Ilmu akan meninggikan darjat seseorang di sisi Allah dan manusia tetapi
dengan syarat, orang itu merendah diri. Namun sekiranya dia angkuh,
tunggulah, ilmu itu yang akan menghenyaknya ke bawah. Ingatlah, rasa
tidak berilmu adalah pakaian peribadi orang yang benar-benar berilmu
Sumber : Nota Fikir untuk Zikir (Pahrol M Juoi)
No comments:
Post a Comment